Pengenalan Madrasah Idrisiah

  • PDF

Madrasah Idrisiah dinamakan sempena nama almarhum Sultan Idris I Mursyidul `Adzam Shah, yang merupakan pengasas sekolah dan pewakaf aset paling bernilai seperti tanah dan hasil sewaan rumah kedai di sekitar Kuala Kangsar. Madrasah ini dibangunkan di zaman pemerintahan anakanda baginda, Sultan Iskandar Qaddasallah pada tahun 1922 (1342H) di tapak seluas 3e.1r. 38pl. dengan gembelingan tenaga ulama’ seperti Tuan Guru Sheikh Haji Nawawi bin Haji Tahir .

Madrasah ini turut dinyatakan dalam sejarah pengajian Islam di negeri ini sebagai sebuah institusi agama pertama yang menggunakan sistem persekolahan disamping mengekalkan ciri sekolah pondok sehingga akhir tahun 1970an. Ini dibuktikan apabila pelajar pertama yang terdiri daripada 23 orang anak yatim tinggal di asrama di bahagian atas bangunan manakala waktu persekolahan mereka berada di kelas di bahagian bawah bangunan yang kini sudah menjangkau usia 88 tahun. Madrasah yang semakin malap pada tahun 1970 an ini dibangunkan semula pada tahun 1985 dengan titah DYMM Sultan Perak , Sultan Azlan Shah, cucunda kepada Almarhum Sultan Idris I .

Sesuai dengan peranannya membantu anak negeri menjadi ulama’ dan umara’, baginda sultan berkenan agar Madrasah Idrisiah didaftar di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Perak mengikut Seksyen33 Jadual Pertama Fasal 10 Undang-undang Pentadbiran Ugama Islam Perak 11/65. Secara tidak langsung, sekolah layak menerima seramai 11 orang guru Kementerian Pelajaran Malaysia sejak tahun 1985. Sesungguhnya pusat pendidikan agama seperti Madrasah Idrisiah mempunyai peranannya yang tersendiri dalam pembangunan negara.

Sebagai sebuah institusi sekolah agama tertua di negeri ini, memandangkan peranannya sebagai pusat melahirkan ulama’ dan umara’ masa depan, kedudukanya yang hampir dengan imej kesultanan negeri, Madrasah Idrisiah seharusnya terpelihara sebagai khazanah umat. Aktiviti pembestarian sekolah terus disuburkan melalui rancangan memulihkan Idrisiah, rancangan 5 tahun 2000- 2005 dan 2006 hingga 2010. Dalam rancangan pembestarian lima tahun pertama (2000-2005), Madrasah Idrisiah menggariskan usaha membangun modal insan berwibawa melalui penyediaan `handbook’, prasarana dan kemudahan fizikal lebih selesa, pengkisahan semula ethos sekolah, membina jaringan lebih kukuh dengan bekas pelajar, mewujudkan persaingan di kalangan pelajar melalui kelas sains tulen, menambahkan ilmu teknologi di kalangan pelajar dan guru serta menambahkan lagi aset sekolah.

Dalam rancangan sekolah agama bestari 2006-2010, pembangunan modal insan terus diperkukuhkan dengan meluaskan konsep rakan bestari melalui hubungan dengan universiti & kolej tempatan seperti UPSI dan KISDAR, badan berkanun seperti YAPEIM, Yayasan Perak, K-Perak badan bukan kerajaan seperti Majlis Belia Negeri, KPIP, Institut Darul Ridzuan, disamping menambahbaik prasarana dan memperkayakan aset sekolah. Justeru itu Madrasah Idsiah memilih “ Idrisiah Terus Gemilang Tahun 2011- 2015” sebagai visi dan penanda aras bagi kegemilangan masa depannya.

Last Updated on Monday, 04 April 2011 14:48

You are here: